Urutan Wali Nikah Bagi Perempuan

Urutan Wali Nikah Bagi Perempuan

Siapakah yang boleh menjadi wali?

Wali bermaksud pemimpin atau pelindung yang terdiri daripada ahli waris lelaki yang terdekat kepada pengantin perempuan dan merupakan salah satu rukun dalam perkahwinan, mengambil hujah daripada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: "Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali" (Riwayat al-Khamsah dan an-Nasa'i).

Oleh sebab wali merupakan salah satu syarat sah nikah, maka ia perlu dianggap penting kerana bukan semua orang boleh menjadi wali. Syarat-syarat sah menjadi wali ialah Islam, baligh, berakal, lelaki, adil (tidak fasik) dan merdeka. Satu perkara lagi yang dipandang remeh oleh masyarakat kita ialah tertib susunan wali yang wajib dipatuhi.

Susunan wali mengikut tertib ialah seperti berikut:-

1 - Bapa kandung
2 - Datuk sebelah bapa ke atas
3 - Saudara lelaki seibu dan sebapa
3 - Saudara lelaki sebapa
4 - Anak saudara lelaki seibu dan sebapa
5 - Anak saudara lelaki sebapa
6 - Bapa saudara sebelah bapa seibu dan sebapa
7 - Bapa saudara sebelah bapa sebapa
8 - Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa seibu dan sebapa ke bawah
9 - Anak lelaki bapa saudara sebelah bapa sebapa ke bawah
10 - Bapa saudara seibu dan sebapa
11 - Bapa saudara bapa sebapa
12 - Anak lelaki bapa saudara seibu dan sebapa
13 - Anak lelaki bapa saudara sebapa ke bawah
14 - Bapa saudara datuk seibu dan sebapa
15 - Bapa saudara datuk sebapa
16 - Anak lelaki bapa saudara datuk seibu dan sebapa ke bawah
17 - Anak lelaki bapa saudara datuk sebapa ke bawah
18 - Wali hakim iaitu Raja/ Sultan

Antara Wali Aqrab dan Wali Ab'ad

Wali yang lebih dekat dengan pengantin perempuan dipanggil Wali Aqrab manakala wali yang lebih jauh dipanggil Wali Ab'ad. Contohnya jika bapa dan datuk telah meninggal, maka saudara lelaki seibu sebapa (no.3) dikira sebagai Wali Aqrab dan saudara lelaki sebapa (no.4) dikira sebagai Wali Ab'ad, dan begitulah seterusnya.

Apakah akibatnya jika perpindahan tertib wali tidak dipatuhi?

Perpindahan tertib Wali Aqrab kepada Wali Ab'ad ini tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya kerana jika tidak, sesuatu perkahwinan itu boleh dikira sebagai batal dan tidak sah.

"Barangsiapa menikahkan puterinya dengan orang fasiq, ia telah memutuskan hubungan kekeluargaan" (Asy-Sya'bi)

Apakah sebab-sebab yang membolehkan perpindahan tertib wali?

Antara sebab-sebab yang membolehkan perpindahan tertib wali ini ialah jika Wali Aqrab itu masih kafir, masih kanak-kanak, gila (yang mendapat perakuan daripada doktor yang amanah), fasik, bodoh dan cacat yang menghalang kemampuan berisyarat seperti bisu.

Wallahu a'lam.
Previous
Next Post »