Sifat-Sifat Mazmumah Menurut Hadis

Sifat-Sifat Mazmumah Menurut Hadis

Sifat Mazmumah (keji) ialah sifat-sifat yang tidak baik dan tercela, juga sifat yang patut kita jauhi. Menurut para ulama' antara sifat-sifat mazmumah ialah seperti berikut:

1. Gemar Makan dan Minum Makanan Haram dan Syubhat

Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a dia berkata, Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda, "Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Banyak berkata-kata (Perkara yang sia-sia)  

Telah menjadi lumrah manusia suka berkata-kata, berbual-bual dan bersembang-sembang tetapi biarlah perkataan kita itu tidak sia-sia.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, melainkan bisikan-bisikan daripada yang menyuruh (manusia) bersedekah, atau berbuat makruf, atau mendamaikan manusia” (Surah AnNisa ayat 114)

3. Suka Mengumpat dan Memfitnah.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud : "Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati, tentu sekali kamu benci memakannya. Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujarat ayat 12)

Firman Allah S.W.T maksudnya : “Hai orang-orang yang beriman! Kalau datang kepada kamu orang fasik membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu tidak mencelakakan suatu kaum dengan tidak diketahui, kemudian kamu menyesal atas perbuatan itu” (Surah Al-Hujurat ayat 6)

Nabi S.A.W bersabda maksudnya : “Tidak akan masuk syurga pembawa fitnah”(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Marah

Sifat marah berpunca dari kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang demikian selalunya didorong oleh pengaruh Syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya.

Dari Abu Hurairah radhiallahuanhu sesungguhnya seseorang bertanya kepada Rasulullah S.A.W: "Ya Rasulullah ! Nasihatilah saya." Baginda bersabda : "Jangan kamu marah". Dia menanyakan hal itu berkali-kali. Maka baginda bersabda: "Jangan engkau marah." (Hadis Riwayat Bukhari)

Sabda Nabi S.A.W. lagi yang bermaksud : "Tiada seorang pun yang meneguk satu tegukan yang lebih agung pahalanya daripada tegukan berupa kemarahan yang ditahannya semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala." (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

5. Hasad dengki, dan iri hati

Sifat di atas lahir daripada rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya.

Sabda Rasulullah S.A.W. maksudnya : "Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu."(Hadis Riwayat Abu Dawud)

6. Kasih kepada harta dan sifat bakhil

Tiada salah memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil , tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Dari sahabat Abu Hurairah r.a, beliau berkata, Rasullullah S.A.W telah bersabda : "Jauhillah tujuh kehancuran yang dapat menimpa kalian." Lalu (sahabat) bertanya, "Apakah itu wahai Rasulullah?" Lalu baginda menjawab, "Menyekutukan Allah, bakhil (kikir), membunuh jiwa yang diharamkan Allah, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari peperangan, menuduh zina wanita mukminat yang suci.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

7. Takbur

Banyak sebab yang boleh menyebabkan seseorang itu takbur atau sombong diri seperti nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Firman Allah S.W.T maksudnya, "Demikianlah Allah menguncikan hati setiap orang yang takbur lagi sewenang-wenang." (Surah Gafir (40) ayat 35)

Di murkai dan dibenci oleh Allah S.W.T, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:"Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang membesarkan dirinya (takbur)." (Surah an-Nahl (16) ayat 23)

8. Riyak

Riyak pula ditakrifkan sebagai sifat untuk menarik pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan yang baik dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.

Rasulullah S.A.W dalam sabda bermaksud: "Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad)

9. Ujub

Sifat ujub pula ialah berkait rapat dengan takbur dan riyak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaan dan lain-lain.

Orang yang terkena penyakit ujub akan memandang remeh dosa-dosa yang dilakukannya dan mengang-gapnya bagai angin lalu. Nabi S.A.W. telah mengabarkan kepada kita dalam sebuah hadis: “Orang yang jahat akan melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya, dengan mudah dapat diusirnya hanya dengan mengibaskan tangan. Adapun seorang mukmin melihat dosa-dosanya bagaikan duduk di bawah kaki gunung yang siap menimpanya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

10. Kasih akan Dunia

Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupandan kesenangan dunia akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak."

Hati yang sentiasa berpaut pada kehidupan dan kesenangan duniawi menyebabkan seseorang itu takut mati. Hakikat ini digambarkan oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya yang bermaksud, “Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan, senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumba-lumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak.” (Surah Al-Hadid ayat 20)

Daripada Tsauban r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud : "Hampir tiba suata masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka".

Maka salah seorang sahabat bertanya "Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?"

Nabi S.A.W. menjawab, "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah S.W.T. akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah S.W.T. akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan".

Seorang sahabat bertanya, "Apakah wahan itu hai Rasulullah?"

Nabi Muhammad S.A.W. menjawab, "Cinta pada dunia dan takut pada mati". (Hadis Riwayat Abu Daud)

Wallahu a'lam
Previous
Next Post »