Penjelasan Dan Pengajaran Tentang Syirik

Penjelasan Dan Pengajaran Tentang Syirik

Salah satu daripada dosa-dosa besar adalah syirik. Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah SWT dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah SWT.

Menyekutukan Allah SWT jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Dari Anas r.a : Rasulullah SAW bersabda, "Allah Ta'ala berfirman kepada orang yang menerima azab yang paling ringan pada hari kiamat; "Jika kamu mempunyai sesuatu di atas permukaan bumi sebagai tebusan, adakah kamu menebus azab ini dengannya?" Orang itu pun menjawab, "Ya". Allah SWT pun berfirman,"Aku menghendaki darimu agar melakukan sesuatu yang lebih mudah dari ini sewaktu kamu berada di dalam tulang sulbi Adam (iaitu) agar kamu tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Ku, namun kamu telah ingkar(enggan) melakukannya, melainkan kamu telah mempersekutukan Daku." (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Ahmad) [001] )

Penjelasan dan Pengajaran :

1. Sesuatu yang dikehendaki Allah SWT yang lebih mudah iaitu iman. Iman bermaksud melafazkan kalimah tauhid dengan lidah (lisan), meyakini dengan sepenuh hati dan melaksanakannya dengan fizikal atau anggota badan (beramal).

2. Syirik bermaksud mempersekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain seperti menyembah berhala, memuja kubur, menganggap Nabi Isa a.s sebagai anak tuhan dan sebagainya.

3. Syirik juga boleh membawa makna terdapat kuasa lain yang lebih berkuasa dari kekuasaan Allah SWT, seperti percaya pada tangkal dan lain-lain.

4. Syirik boleh juga terjadi melalui perkataan atau percakapan kita sehari-hari seperti “Kejayaan aku hari ini adalah kerana usaha aku!”, sama seperti percakapan Qarun dalam Surah Al-Qasas [28] : 78

Firman Allah SWT maksudnya, "Dia (Qarun berkata,"Sesungguhnya aku di beri (harta itu) semata-mata kerana ilmu yang ada padaku." (Surah al-Qasas [28] ayat 78)

Contoh syirik :“Jika tiada ubat ini, tentulah aku mati,” dan yang seumpama dengannya. Rujuk Surah Al-A’raaf [7] : 172, perihal janji manusia kepada Allah SWT sebelum dilahirkan.

Firman Allah SWT maksudnya, " ..dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman) "Bukanlah Aku ini Tuhanmu? "Mereka menjawab "Betul (Engkau Tuhan kami) kami bersaksi." (Surah al-A'raf [7] ayat 172).

Wallahu a`alam
Previous
Next Post »